UTUSAN MALAYSIA: Margasatwa juarai Levi’s Music Project

KUALA LUMPUR: Mengangkat tema keyakinan diri menerusi lagu Yang Asli membawa tuah kepada kumpulan Margasatwa apabila berjaya merangkul kejuaraan Levi’s Music Project yang julung kali diadakan. 

Salah seorang ahli kumpulan itu, Kimal berkata, mereka tidak merancang untuk memasuki mana-mana pertandingan dan hanya memberi fokus kepada mengembangkan kerjaya seni muzik mereka. 

“Margasatwa pada asalnya tidak merancang untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana sedang fokus dalam penghasilan album kedua namun berubah fikiran kerana mempunyai lagu yang dirasakan sangat sesuai dengan jenama Levi’s itu sendiri. 

“Yang Asli berkisarkan tentang keyakinan diri dalam menjadi diri sendiri, tanpa mempedulikan kata-kata negatif orang lain terhadap diri seseorang. Dalam era media sosial yang begitu terbuka kini, kita cenderung dipenuhi dengan suara negatif dan tohmahan sehingga merendahkan martabat orang lain sekaligus meruntuhkan keyakinan seseorang. 

“Justeru itu, lagu ini adalah untuk mengembalikan semula keyakinan terhadap diri sesorang yang mendengarnya kerana setiap manusia mempunyai ‘kecantikan’ yang tersendiri dan asli, yang tidak dapat dilihat hanya melalui media sosial sahaja.,” jelas Kimal. 

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Margasatwa membawa pulang wang RM20,000. 

Levi’s Music Project pertama kali diadakan di Malaysia telah menerima lebih 200 penyertaan dan diadili oleh juri berpengalaman dalam industri seni muzik, Jennifer Thompson dan Old Head Jin. 

Setelah dinilai, hanya empat finalis berjaya menembusi saringan iaitu Dato’ Maw, Alien Lipstick Fire, Mayabayu dan Margasatwa. Malah, keempat-empat finalis telah merakamkan sebuah single di Big A Production Studio dengan tajaan Levi’s Malaysia.

Leave a comment

Add comment