[Harian METRO>RAP] Kami menang! – Margasatwa

Kuala Lumpur: Band Margasatwa menerusi lagu Yang Asli dinobatkan juara pertandingan Levi's Music Project sekali gus membawa pulang RM20,000.

Kimal yang mewakili kumpulan itu berkata, Margasatwa pada awalnya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana pertandingan. 

"Margasatwa pada asalnya tidak merancang untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana sedang fokus dalam penghasilan album kedua namun berubah fikiran kerana mempunyai lagu yang dirasakan sangat sesuai dengan jenama Levi's itu sendiri. 

"Tidak menjangka apabila masuk, kami menang. Inilah yang dikatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah Margasatwa berjaya bawa pulang RM20,000," katanya. 

Mengenai lagu Yang Asli, ia berkisarkan mengenai keyakinan dalam menjadi diri sendiri tanpa mempedulikan kata-kata negatif orang lain terhadap diri seseorang. Dalam era media sosial yang begitu terbuka kini, ia cenderung dipenuhi dengan suara negatif dan tohmahan sehingga merendahkan martabat orang lain sekali gus meruntuhkan keyakinan seseorang. 

Justeru, lagu itu adalah untuk mengembalikan semula keyakinan terhadap diri sesorang yang mendengarnya, kerana setiap manusia mempunyai  'kecantikan' yang tersendiri dan asli, yang tidak dapat dilihat hanya melalui media sosial sahaja.

Pada peringkat akhir, Margasatwa menwaskan tiga peserta akhir lain iaitu Datuk Maw, Alien Lipstick Fire dan Mayabayu. 

Levi's Music Project pertama kali diadakan di Malaysia menerima lebih 200 penyertaan dan dua juri berpengalaman dalam industri iaitu Jennifer Thompson dan Old Head Jin dipilih untuk menilai dan memilih empat finalis 

Kesemua peserta merakamkan sebuah single di Big A Production Studio dengan tajaan Levi's Malaysia seterusnya mempersembahkan secara langsung pada acara kemuncak, Levi's Virtual Showcase pada 22hb Disember lalu. 

Levi's menghadiahkan geran RM20,000 itu untuk penghasilan video muzik rasmi bagi lagu Yang Asli yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. 

Video muzik Yang Asli dijangka akan siap untuk tontonan umum pada Februari tahun depan. 

Sementara itu, lagu Yang Asli boleh didengari di semua platform digital dan di saluran youtube rasmi Margasatwa yang turut memaparkan 'artwork' lagu itu hasil kolaborasi dengan sorang artis ilustrasi tempatan, Shufitri Shukardi.

Leave a comment

Add comment